Saturday, August 27, 2011

Ungu Kebiruan 2

Mia:
Miu Miu sayang, kau tidak ceria seperti biasanya. Apakah ada sesuatu yang mengganggu fikiranmu?

Miu Miu:
Meeooowwwww...( Jawab Miu Miu tanpa memandang Mia. Takut untuk bertentang mata, Miu Miu pura - pura menjilat nescafe di piring yang dituang Mia )

Mia:
Kenapa wahai Miu Miu? Aku tahu pasti ada sesuatu yang mengganggu fikiranmu. Ceritalah. Aku berjanji tidak akan menghakimimu.

Berhenti dari menjilat nescafenya, Miu Miu mengangkat mukanya lalu merenung sayu tepat ke mata Mia.

" Meeooowwwww....."

Mia:
Adakah ini mengenai kisah lamamu? Kisah antara kau dan tuan lamamu? Adakah kerana kisah 2 tahun yang lalu itu?

Miu Miu mengangguk lemah. Mia melihat ada kesedihan bercampur sebak di mata kucing montelnya itu. Mia tahu Miu Miu menyimpan suatu kisah di sebalik pertanyaan kenapa dan bagaimana Mia boleh menemui Miu Miu di tepi jalan, tidak terurus tanpa arah. Tetapi Miu Miu tidak pernah menceritakan setiap kali ditanya Mia.

Mia:
Ceritalah. Lepaskanlah segala yang kau simpan. Berikan sedikit kesedihanmu itu kepadaku. Semoga saja dapat ku usir jauh, sejauh Antartika, segala yang mengganggumu, membayangimu.

Mia mencubit dan menarik kulit di leher bahagian belakang dan mengangkat Miu Miu lalu meletakkan di sampingnya. Sambil membelai badan kucing montel yang berbulu selembut sutera itu, Mia menghirup nescafe, lalu meletakkan kembali cawan ke piringnya. "Ceritalah".

Miu Miu:
2 tahun yang lalu aku pernah dipungut oleh seseorang, seseorang yang tulus ikhlas memelihara dan menjagaku. Aku berasa sangat beruntung ketika itu. Aku berasakan bahawa akulah kucing paling bertuah, paling bahagia. Kenapa? Kerana aku dipelihara oleh seseorang yang menurutku mempunyai citarasa yang tinggi dalam memelihara haiwan peliharaan, di mana aku sebenarnya tidak layak untuk dijadikan salah satu haiwan peliharaannya. Namun atas dasar hati yang bersih, dia tetap mengangkatku walaupun aku tahu aku tidak layak mendapatkan dirinya

Mia:
Kenapa kau berkata begitu? Adakah dia seorang putera raja?

Miu Miu:
Oh, bukan. Dia hanyalah manusia biasa. Rakyat biasa, sama seperti manusia - manusia yang lainnya. Aku berbicara seperti itu melalui pemerhatianku. Setelah aku dibawa ke rumahnya, ternyata dia sudahpun mempunyai 2 ekor haiwan peliharaan lainnya. Satunya seekor kucing, sama sepertiku, dan satunya lagi adalah seekor burung merpati. Sang merpati memiliki sayap berwarna putih. Entah kacukan dari mana, warna putih tersebut berubah menjadi warna keemasan yang berkilau pabila bulan menampakkan diri. Sayapnya yang lebar, panjang dan berlapis - lapis terlihat seperti ekor burung merak pabila mekar, sangat indah. Sayapnya agak sedikit lentik pada bahagian hujungnya menyerlahkan lagi keindahan seekor burung merpati yang menurutku memang sudah indah sediakala. Dan kucing itu...kucing itu...

Mia:
Aku tahu, pasti kucing itu bertubuh lentik, berbulu halus dan lembut berwarna putih pinkish dengan ekor yang lebat melentik meliuk lentuk pada setiap benda yang mengenainya. Betul tak?

Miu Miu:
Ehhh...mana kau tahu?

Mia:
Entah. Aku teka je.

Miu Miu:

Hmmm betul la tu. Memang si kucing itu suka meliuk lentikkan ekornya sambil menggesek lebih - lebih lagi pada tuan baruku itu. Dia sangat manja. Dia tahu tuanku itu sangat menyayanginya kerana kecantikannya. Bagiku, dia tidaklah secantik mana. Entahlah, mungkin di mataku dia terlihat biasa saja. Cerita - cerita dari si ikan emas, si burung kakak tua, si arnab dan si ulat beluncas, mereka mengatakan bahawa si kucing itu terkenal di perumahan itu. Sering menjadi bahan perbualan manusia - manusia yang bermulut bocor dan berhati gelap itu, dari  cerita mengenai kecantikannya sampailah ke cerita mengenai sifat penggodanya. Jadi melalui pemerhatianku, tuanku itu sangat memilih dalam soal haiwan peliharaan. Kedua - duanya cantik, menarik dan indah rupawan. Tetapi aku? Aku hanyalah kucing biasa, Mia. Kucing yang tidak mempunyai kecantikan dan keindahan untuk dipersembahkan kepada tuanku itu. Sudahlah gemuk, suka makan pula.


Mia:
Kau kan ada bulu yang berwarna ceria, menurutku itu mendamaikan, melihat warna ungu kebiruan di badanmu itu. Kau comel, bulat seperti belon. Hanya saja kau berbulu, dan belon tidak. Dan kau pintar, itu yang membuat aku menyayangi dirimu. Jangan berasa rendah diri, setiap makhluk ciptaan Allah, pasti ada kelebihannya sendiri. 


Miu Miu:
Tidak bagi dia, tuan baruku itu.


Mia:
Kenapa? Adakah dia tidak melayanimu dengan baik sehingga kau berkata demikian?


Miu Miu:
Oh, tidak, tidak, dia melayaniku dengan sangat baik. Malah, dia sangat menyayangiku, dan aku juga menyayanginya. Dia baik terhadapku, begitu juga dengan si burung merpati dan sang kucing itu. Mereka menyambut kedatanganku dengan ramah dan kami sering berjalan di taman bersama - sama pada waktu petang. Kami bergurau ketika kami bosan. Kami ketawa ketika kami sedih. Aku bahagia aku dipelihara olehnya. Aku menemui harapan di situ.


Mia:
Lalu, apa yang membuat kau sedih wahai kucing montel?


Miu Miu tiba - tiba menunduk. Matanya mulai bergenang. Dia diam tidak bergerak, tidak berkata apa - apa. Ekornya melingkar tidak bernyawa. Diam. Terpaku. Kaku.

No comments: