Tarikh: 17 April 2011
Lokasi: Lapangan Terbang Soekarno Hatta, Terminal 1B, Gate B2.
Jam di dinding menunjukkan pukul 1505. Aku mengerling jam tangan berwarna biru di tangan kiriku. Jam 1513. Cepat 8 minit. Sengaja dipercepatkan mengingat diri ini sering terlambat dalam setiap urusan.
Ruang menunggu yang tadinya kosong kini telah dipenuhi dengan manusia yang pelbagai ragam. Kebanyakannya terdiri dari golongan yang boleh dikatakan telah berkeluarga, atau setidaknya telahpun bekerja.
Aku sendirian. Belum berkeluarga. Belum bekerja. Aku masih menuntut ilmu yang aku sendiri tidak ingat entah bila mulanya dan entah bila akan selesai. Walaupun usiaku belum setengah abad, terasa seperti sudah 1000 tahun menuntut ilmu, namun masih juga belum selesai. Masih sama. Bosan.
Aku melihat mereka yang sedang menunggu, sama sepertiku, mempunyai tujuan sendiri. Aku tahu.
Ada yang sedang membaca buku, mungkin hanya sekadar menghilangkan rasa bosan menunggu. Ada yang sedang bermain dengan handphone, mungkin sedang bersms atau bermain facebook. Ada yang sedang makan, itu mungkin kerana dia memang lapar.
Mungkin.
Mungkin saja aku akan menjadi lebih tabah menghadapi segalanya. Mungkin saja aku akan kuat dalam mengharungi gelora dunia. Mungkin. Mungkin juga sebaliknya. Mungkin aku akan menjadi lebih lemah dalam menghadapi dugaan. Mungkin tangisan akan lebih kerap menemaniku daripada senyuman. Semuanya hanyalah kemungkinan.
Sinar matahari petang menerjah masuk ke ruang menunggu pada tempat dudukku. Panas. Silau. Panggilan untuk naik ke pesawat telah diumumkan. Aku menyandang backpack dan handbagku lalu bangun melangkah menuju ke pesawat, bersama penumpang - penumpang lainnya membawa bersama 1000 kemungkinan.
No comments:
Post a Comment